MALAS adalah satu penyakit. Ia menimpa semua orang termasuk remaja. Malas ada bermacam ragam, ada malas belajar, malas kerja, malas bercakap, malas makan serta seribu satu macam jenis malas lagi.
Malas ada risiko dan akibatnya, tetapi apa yang menakutkan adalah kalau malas beribadat.
Akibat dan risiko malas yang lain boleh ditanggung, tetapi kalau malas beribadat tidak mampu ditanggung rasanya.
Siapa yang sanggup menanggung azab sengsara dibakar api neraka.
Perhatian kita terhadap penyakit malas ibadat amat menurun dan corot terutama terhadap anak remaja kita.
Lihat saja kalau anak kita tidak ke kelas tambahan atau tuisyen, bukan main marah kita maki dan kadang-kadang pukul mereka.
Berbanding keadaan kalau anak kita tidak menunaikan solat, puasa atau anak gadis tidak menutup aurat, tidak kita dengar suara menyuruh atau berleter.
Kadang-kadang yang kita temui apabila emak atau ayah menyuruh adalah yang tolong bela.
“Kasihan budak tu...biarlah dia tidur, di asrama tak cukup tidur...,” bela emak pada anaknya yang balik bercuti.
Kita memberi perhatian kepada pelajaran yang akan memberi skor ‘A’ dalam peperiksaan, tetapi bagi pelajaran fardu ain, kita buat tidak endah saja.
Sebenarnya ini penyuburan nilai tidak prihatin kita yang ditanamkan terhadap anak tanpa kita sedari.
Kita lebih khuatir masa depan dunia anak kita daripada masa depan agama mereka.
Dunia memang penting. Islam tidak pernah menolak dunia yang sehingga al-Quran mewasiatkan dalam firman Allah yang bermaksud:
“Carilah apa yang dikurniakan Allah terhadap perkara akhiratmu dan janganlah kamu lupa urusan dunia kamu...”
Jangan lupa dunia antara mesejnya, tetapi jangan pula leka mencari dunia sehingga lupakan akhirat, kadang-kadang bukan saja lupa akhirat, malah Allah sebagai Tuhan yang disembah pun dilupakan juga.
Memang patut kita risau kalau anak kita tidak berjaya di dunia, tetapi lebih patut lagi kita risau kalau anak ke neraka gara-gara gagal beribadat ketika di dunia.
Pesan dan motivasi anak supaya bersungguh-sungguh belajar, tetapi jangan lupa hendak berpesan kepada mereka supaya tidak mengabaikan ibadat terutama solat sebagai tiang agama.
Nabi Yaakub berpesan kepada semua anaknya sebelum wafat,
“...apakah yang kamu sembah selepas kematianku...”
Bagi yang lalai dan terlalu leka dengan dunia mungkin pesanannya sebelum mati,
“...anak-anakku apa yang akan kamu makan selepas kematianku...”
*Artikel asal oleh Mohd Zawawi Yusoh (Harian Metro)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan